Monday, January 5, 2009

Kata-kata Aluan Guru Besar


Assalamualaikum Wrbkth.

Terlebih dahulu pada kesempatan ini saya bagi pihak warga SK Gita No.2 ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi melayari laman web sekolah ini. Sekolah ini baru sahaja beroperasi sepenuhnya pada 5 Januari 2009 dengan bilangan pengajar seramai 37 orang dan bilangan pelajar seramai 570 orang sahaja.

Semoga laman web ini akan dapat mengeratkan silaturahim dan hubungan muhibah dengan semua pihak, terutama sekolah-sekolah elit yang ternama di negara ini.

Oleh yang demikian, saya sangat berharap semoga barisan pendidik di sekolah ini akan mempertingkat kegigihan dan bakti mulia untuk sentiasa menjana kecemerlangan sekolah ini ke mercu yang lebih gemilang. Saya sentiasa menaruh keyakinan bahawa barisan pendidik di sekolah ini berkemampuan menaburkan bakti untuk memperkasa lagi sekolah ini.

Di samping itu, saya juga berharap semoga para pelajar dapat mempertingkat ketekunan dalam usaha menimba ilmu, terutama untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Sesungguhnya, ilmu dan pengetahuan akan menjadi obor yang sangat berguna dalam hidup sepanjang zaman.

Akhir kata, terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan fikiran dan tenaga dalam usaha membangunkan laman web ini.

Insya-Allah, mudah-mudahan sekolah ini akan terus cemerlang dan gemilang.

Wassalam.

ABDUL LATIP HJ. BUJANG
Guru Besar S.K Gita No. 2