Monday, August 30, 2010

AMBANG MERDEKA SKG2

30 OGOS - Satu sambutan Ambang Kemerdekaan telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Gita No. 2 hari ini. Ia merupakan sambutan yang kedua disambut oleh warga sekolah setelah sekolah beroperasi pada tahun lepas. Satu tayangan power point oleh Guru Besar telah ditayangkan kepada warga sekolah mengenai sejarah negara sebelum merdeka, pengertian merdeka dan kesan-kesan kemerdekaan negara. Turut diadakan juga nyanyian beramai-ramai lagu-lagu patriotik seperti Kerana Mu Malaysia, 1 Malaysia.

"Budaya-budaya barat seperti shuffle tidak harus ada dalam diri anak-anak merdeka" jelas Guru Besar kepada murid-murid ketika berucap sempena ambang merdeka. Menurut beliau lagi, kita sebagai anak-anak merdeka harus menghayati erti kemerdekaan dengan menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa.

Majlis Ambang kemerdekaan kali berlainan sedikit kerana hari sambutan kemerdekaan ke 53 disambut pada bulan Ramadhan. Majlis Ambang Kemerdekaan bersurai dengan nyanyian lagu Satu Malaysia.

Saturday, August 14, 2010

Program Citra Bestari - Motivasi Tahun 6


7 Ogos 2010 - SK Gita 2 telah diberi penghormatan mengelolakan Program Citra Bestari sekolah-sekolah angkat P.194 di Auditorium Yayasan Sarawak baru-baru ini. Matlamat utama Program Citra Bestari ialah untuk mencetuskan kesedaran dan keyakinan diri murid-murid di tiga buah sekolah yang terlibat tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai murid Tahun 6, disamping berusaha untuk melahirkan murid yang kreatif, inovatif dan berdaya saing selaras dengan visi dan misi sekolah ke arah kecemerlangan pendidikan.

Program ini bertemakan ‘Kearah Kecemerlangan Diri’ dan Kecemerlangan diri ialah suatu tahap pencapaian diri yang unggul, terbaik dan tertinggi dalam semua perkara yang dibandingkan dengan orang lain. Justeru sebagai murid yang akan menduduki UPSR diharapkan dapat membentuk dan membudayakan diri dengan ciri-ciri kecemerlangan diri seperti berikut:

1. Kenal diri – berfikir dan menilai diri sendiri
2. Ada Inisiatif – tidak menangguhkan kerja, lakukan sekarang
3. Sikap menang – tidak mengalah dan mengandakan usaha untuk Berjaya

Majlis penutupan Citra Bestari dilakukan oleh Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan P.194 Cikgu Rabiah Johari. AJK pengelola merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Tuan Haji Fadillah Yusuf yang sudi menjadikan 3 buah sekolah ini sebagai sekolah angkat di kawasan Parlimennya.

Thursday, August 5, 2010

PERKHEMAHAN PERTAMA SK GITA 2



30 & 31 JULAI - Satu perkhemahan badan-badan uniform telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Gita No. 2. Perkhemahan 2 hari satu malam ini merupakan anjuran bersama Guru-guru pelatih dari Institut Perguruan Kampus Batu Lintang (IPBL) Kuching dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Gita No.2. Seramai 120 orang murid dari badan uniform pengakap, PBSM, Puteri Islam dan Kadet Remaja Sekolah telah menyertai perkhemahan tersebut. Ianya merupakan program perkhemahan yang pertama sejak sekolah ini beroperasi. Malah ianya julung-julung kali penganjuran bersama dengan guru-guru pelatih dari IPBL. Sebelum ini, guru-guru pelatih IPBL pernah mengadakan lawatan ke SK Gita 2 dan pernah memimpin senaman pagi ketika Program Sekolah Sejahtera Jerayawara.

"Ini merupakan perkhemahan yang pertama, kita akan masukkan program perkhemahan seperti ini di dalam takwim tahunan sekolah nanti" Kata Guru Besar SK Gita 2 En. Abdul Latip ketika Majlis Penangguhan Program Perkhemahan tersebut. Beliau amat bersyukur kerana sepanjang perkhemahan tersebut tidak ada perkara yang tidak diingin berlaku. Beliau berharap murid-murid dapat menghayati perkhemahan tersebut seterusnya menjadikannya sebagai pengalaman yang berguna pada masa akan datang.

Ucapan terima kasih kepada guru-guru pelatih Institut Perguruan Batu Lintang. Seterusnya Ahli Jawatankuasa pelaksana Program Perkhemahan Bersepadu Badan Uniform dan tidak dilupakan peserta-peserta perkhemahan dan pihak-pihak yang memberikan sumbangan secara langsung dan tidak langsung.