Tuesday, March 30, 2010

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN ZON B, KUCHING



29 MAC - Sekali lagi SK Gita 2 melakarkan sejarahnya pada hari ini kerana telah berjaya menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran dan Festival Nasyid Sekolah-sekolah rendah Zon B (MTQ).

"Walaupun SK Gita 2 adalah sekolah yang baru, namun dapat menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran dan Festival Nasyid seperti sekolah-sekolah yang sudah berpuluh-puluh tahun berpengalaman menganjurkan Majlis seperti ini. Syabas dan tahniah diucapkan" kata Ustaz Awang Arifin pegawai di Jabatan Pelajaran Daerah Kuching dalam ucapannya merasmikan majlis penutupan.

Antara pertandingan yang diadakan pada majlis tersebut adalah pertandingan nasyid, tilawah Al-Quran, hafazan dan bercerita. Seramai 303 orang murid dari 32 sekolah rendah Zon B kuching telah menyertai pertandingan kali ini. Sebanyak 16 buah sekolah telah menyertai pertandingan nasyid dan ia merupakan penyertaan terbanyak berbanding dengan pertandingan zon A yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Green Road.

SK Gersik telah merangkul juara nasyid pada kali ini. Johan tilawah lelaki telah dimenangi oleh adik Mohd Yusuf Abd Ghani dari SK Siol Kanan. Manakala Johan tilawah Perempuan, dimenangi oleh adik Ain Farzeena Yusmari dari SK Gersik. Johan hafazan lelaki telah dimenangi adik Hafizuddin Abu Zaid dari SK Gita 2, manakala johan hafazan perempuan dimenangi oleh adik Fatin Nur Aqilah Isa dari SK Gita. Johan bercerita lelaki dimenangi oleh Muhd Faris Jafri dari SKA Datuk Hj. Abd Kadir Hassan, manakala bercerita perempuan dimenangi oleh adik Nurazeena Askan dari SK Siol Kanan.

Tahniah dan syabas buat peserta-peserta MTQ yang telah berjaya. SK Gita 2 merakamkan jutaan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang derma dan tenaga dalam menjayakan MTQ pada kali ini.

Sunday, March 21, 2010

HARI PERMUAFAKATAN & ANUGERAH CEMERLANG


12 MAC - Buat pertama kalinya, SK Gita No. 2 mengadakan majlis penyampaian anugerah cemerlang kepada murid-muridnya. Majlis yang diberi nama Hari Permuafakatan dan Anugerah Cemerlang itu telah dirasmikan oleh Puan Fiziah bt Abdullah @ Cathrine Ritikos, Penolong Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kuching (PPDK). Majlis tersebut diserikan dengan pelbagai persembahan daripada murid-murid SK Gita No.2. Antara persembahan yang dipersembahkan adalah chorus speaking, tarian zapin, nyanyian lagu patriotik. dan persembahan muzikal. Persembahan chorus speaking yang disertai oleh murid tahun 5 Alamanda dipimpin oleh Cikgu Polly Billy, manakala tarian zapin dipimpin oleh Cikgu Rokaya Senen. Sebuah lagu patriotik dinyanyikan oleh adik Wan Mohamad dan adik Hanimina dari tahun 6 Alamanda. Murid-murid yang mendapat anugerah kecemerlangan adalah murid-murid yang dipilih dari setiap tahun dan ianya dinilai dari segi aspek kecemerlangan prestasi akademik, sahsiah dan komitmen sepanjang pembelajaran dan pengajaran berlangsung. Ketua kelas, penolong ketua kelas dan pengawas juga mendapat sijil penghargaan. Objektif majlis ini adalah untuk memberikan suntikan semangat kepada murid-murid cemerlang agar terus cemerlang. Bagi murid yang tidak mendapat kecemerlangan agar terus berusaha bersaing dan mendapatkan kecemerlangan di masa hadapan sepertimana yang diperolehi oleh rakan-rakan mereka. Begitu juga menyampaikan penghargaan kepada pengawas, ketua kelas dan penolong yang telah mencurahkan bakti dan jasa kepada sekolah membantu guru-guru.

Saturday, March 6, 2010

LDP Pertama 2010

5 Mac - Belum lagi keringat program Maulidur Rasul kering pada sebelah pagi, guru-guru SK Gita 2 mengorak langkah mengatur paradigma dengan menghadiri Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang diadakan pada sebelah petang jumaat. Kursus ini merupakan kursus yang pertama buat tahun 2010 yang diadakan untuk guru-guru SK Gita 2. Tujuan kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan dan latihan dalam penggunaan sistem fleksi versi baru yang diguna pakai oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kuching (PPDK). Ianya disampaikan oleh Cikgu Sadun bin Mat Nor yang merupakan guru cemerlang dan guru pakar sains Sarawak. Kursus yang bermula jam 2.30 petang ini berakhir pada pukul 5 petang dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan oleh En. Abdul Latip bin Bujang, Guru besar SK Gita 2 kepada Cikgu Sadun bin Mat Nor. SK Gita 2 mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Sadun kerana sudi berkongsi ilmu bagi meningkatkan penggunaan teknologi maklumat kepada guru-guru SK Gita 2.

Thursday, February 25, 2010

Lawatan IPBL

25 Feb - SK Gita 2 telah dilawati oleh 44 orang penuntut Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL). Lawatan yang diberi nama Lawatan Penanda Aras Sekolah Cemerlang ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada bakal guru mengenai visi dan misi, bentuk dan budaya, struktur dan pelaksanaan kukurikulum serta kokurikulum, ciri-ciri kepimpinan berkesan dalam pengurusan sekolah cemerlang. Rombongan dibawa terlebih dahulu melawat blok Pra sekolah kemudian memasuki dataran. Disana rombongan dihidangkan dengan persembahan tarian yang dipimpin oleh Cikgu Rokaya Senen, kemudiannya alunan muzik yang dipimpin oleh Cikgu Nadziah Sharkawi. Rombongan dipersembahkan dengan bacaan sajak oleh adik Athirah dan kemudiannya persembahan persatuan Taekwando SK Gita 2. Rombongan dibawa pula ke makmal komputer untuk taklimat oleh Guru besar SK Gita 2, En. Abdul Latip bin Bujang. Selesai taklimat rombongan dijamu dengan sedikit jamuan ringan dan bertolak pulang ke IPBL pada sebelah tengahari.

Wednesday, February 24, 2010

Hari Kecergasan



24 Feb - Minggu ketiga setiap bulan, masa yang ditunggu-tunggu oleh warga SK Gita 2. Hari yang ditunggu-tunggu adalah hari kecergasan SK Gita 2. Ianya merupakan hari kecergasan yang pertama buat tahun 2010 setelah ianya berakhir pada bulan november tahun lepas. Seluruh warga sekolah berpakaian sukan bagi meraikan dan menyertai hari kecergasan. Senaman hari kecergasan tersebut diketuai oleh Cikgu Silimun. Antara agenda senaman ialah memanaskan badan, tarian poco-poco dan sambutan harijadi bagi murid-murid yang lahir pada bulan februari. Bermula dari bulan ini dan seterusnya setiap hari rabu minggu ketiga, hari kecergasan SK Gita 2. Senaman yang bermula seawal 6.40 pagi bersurai pada 7.40 pagi.